BAGAIMANA SAYA BOLEH BERGELAR SEORANG PPP

5:34 AM

Assalamualaikum & hello there,

BAGAIMANA SAYA BOLEH BERGELAR SEORANG PPP
Sempena Hari Pembantu Perubatan yang disambut setiap 10 Mac kini, saya ingin menceritakan bagaimana saya boleh menjadi seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP). Kisah ini bukanlah untuk mengaibkan sesiapa. Cuma bertujuan sekadar ingin berkongsi suka duka perjalanan & ceritakan pengalaman saya. Yang mana elok jadikanlah teladan yang mana buruk jadikanlah sempadan.


Mula-mula Mengisi Borang Online
Masih saya ingat bagaimana saya boleh mengisi borang SPA online. Ketika itu seorang rakan yang juga merupakan seorang pelatih Juruteknologi Makmal yang mengesyorkan kepada saya untuk cuba memohon. Katanya belum cuba belum tahu. Dengan rasa ingin tahu, saya cuba membuka laman web SPA. Antara banyak-banyak senarai pilihan jawatan, saya hanya berminat dengan Penolong Pegawai Perubatan. Ini mungkin disebabkan semasa di sekolah menengah dahulu saya ambil aliran sains tulen. Alhamdulillah saya berjaya dipanggil untuk hadir temuduga pada bulan April 2010. Ini merupakan temuduga saya yang kedua selepas temuduga untuk masuk ke institut perguruan pada tahun 2006.

Buka Bisnes Kafe Siber
Apakah yang saya lakukan sebelum ini? Nak dijadikan cerita, sebenarnya saya ada membuka sebuah perniagaan kafe siber yang diberi nama D' Cc Jery di hadapan Uitm Machang dari tahun 2008 hinggalah 2010. Pada zaman tu Facebook baru je nak 'famous'. Friendster dan Myspace yang tengah 'hot'. Saya buat keputusan untuk memohon menjadi penjawat awam selepas didesak oleh ibubapa yang mahukan saya sambung belajar dan bekerja di sektor awam seperti mereka. Alhamdulillah saya berjaya dan ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran Diploma Pembantu Perubatan di Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar. Perasaan masa tu sebenarnya bercampur baur antara nak dengan tak nak. Tak nak sebab saya terpaksa menutup perniagaan saya. Lagipun sudah 2 tahun saya tinggalkan alam belajar. Dan nak sebab saya tidak mahu hampakan harapan ibubapa saya.

Hari Pendaftaran
Jadi, dengan perasaan berat hati sampai jugalah saya di Alor Setar. Ramai juga yang datang lapor diri tapi tengok semuanya macam lebih muda dari saya. Betul juga, saya bukannya masuk sini lepas SPM macam kebanyakan yang lain. Selepas selesai sesi pendaftaran, macam biasa akan diadakan orentasi selama seminggu. Masih saya ingat hari pertama ada sesi untuk memilih jawatan ketua atau lebih dikenali sebagai Tok Penghulu. Boleh pula saya tercalon untuk menjadi Tok Penghulu. Mungkin fasilitator berkenan tengok saya yang lain dari yang lain. Mana tidaknya, saya seorang sahaja yang memakai kemeja berbunga-bunga. Tapi mujurlah saya tidak jadi ketua, kalau tak memang sepanjang belajar di sanalah orang akan panggil saya Tok.

Masuk Belajar Keluar Belajar
Selepas habis minggu orentasi, bermulalah kelas belajar untuk Semester 1. Terasa sangat lemau diri ini, mungkin kerana sudah lama tidak masuk kelas. Lagipun masa saya berniaga, waktu saya lebih bebas. Kini terpaksa ikut peraturan pula. Cabaran dan dugaan saya telah pun berlaku seawal Sem 1 lagi. Ceritanya agak tragik. Cukuplah sekadar saya katakan yang kawan saya yang buat masalah, saya yang tolong, tapi saya pula yang dituduh bersubahat. Ketika ini saya telah mendapat amaran dan hukuman tatatertib yang pertama. Rasanya pencapaian sebegini tak boleh dibanggakan. Masuk Semester 2, saya sendiri yang buat hal. Kadang-kadang lambat masuk kelas, ada kelas pagi tu tak masuk pun dan masuk kelas selepas waktu rehat. Saya buat macam kelas mak ayah saya sendiri pula. Ada jugalah kena buat surat penjelasan (EL). Mungkin juga akibat tak minat dan masuk belajar di situ kerana ibubapa saya. Pada Sem 2 ni jugalah saya berkenalan dengan isteri saya sekarang. Hehe. PPP ni memang tak boleh lari dengan jururawat. Sama ada kami disayangi ataupun dibenci akibat sejarah kenangan silam. Fuhhh... Masuk Semester 3, lebih banyak kes ala-ala Crime Scene Investigation yang saya lakukan sampai saya sendiri pun lupa. Nak diceritakan satu-satu pun panjang. Jadi, nak dipendekkan cerita, saya dipanggil ke bilik Pengarah. Masa tu saya dapat surat untuk digantung pengajian. Alangkah terkejutnya saya pada masa tu. Tak sangka beliau sanggup lakukan keputusan sedemikian. Alasan yang diberi sebab saya tidak layak untuk teruskan pengajian ke Semester 4 dan saya terpaksa mengulang kembali Semester 3. Saya begitu kecewa dan marah. Tapi apalah yang boleh saya lakukan selain terima sahaja keputusan tersebut. Jauh di hati saya, terfikirkan macam mana pulalah saya nak beritahu pada ibubapa saya.


Muhasabah Diri
Sejak dari kejadian digantung pengajian selama 2 bulan tu, saya mula bermuhasabah diri. Saya rasa ada yang tak kena pada diri saya. Jadi, saya mulakan dengan ambil keputusan untuk perbaiki diri. Saya mula utamakan solat. Sejak dari itu juga saya telah berhenti merokok. Alhamdulillah, kini dah masuk tahun ke-4 saya telah berhenti hisap rokok. Isteri saya kini jugalah yang banyak bertanyakan khabar di saat saya memencilkan diri dari orang lain. Bila waktu digantung pengajian tu, saya bekerja secara sambilan di sebuah klinik dekat dengan rumah. Sebenarnya doktor tersebut yang juga adalah pemilik klinik memerlukan seorang pembantu untuk lakukan proses berkhatan memandangkan pada masa tu dah nak cuti sekolah akhir tahun. Jadi, sudah banyak tempahan yang diterima dan amat susah jika beliau lakukan berseorangan. Di situ saya banyak belajar tentang praktikal perubatan secara lebih dekat seperti lakukan proses berkhatan, tatacara beri ubat, ambil darah, jahit luka dan pencucian luka. Semua kerja-kerja itu saya lakukan sendiri setelah diberi tunjuk ajar. Orang-orang kampung juga sentiasa berterima kasih dan memuji perkhidmatan saya. Mungkin disebabkan pengalaman berniaga dahulu yang mengajar saya untuk lebih menghargai pelanggan. Dari situlah juga saya mula berminat dan bercita-cita untuk menjadi seorang Penolong Pegawai Perubatan yang baik kepada masyarakat.

Bersangka Baik
Bila saya masuk belajar kembali untuk ulang Sem 3, saya mendapat kawan-kawan baru pula yang sebelum ni mereka adalah junior saya. Tapi memang tersangatlah malu rasanya apabila bertemu dengan kawan-kawan yang sama kumpulan dengan saya dulu. Saya terpaksa buat tebal muka. Dalam hati ni hanya Tuhan sajalah yang tahu. Tapi alhamdulillah, semua kawan-kawan melayan saya macam biasa dan seperti tiada apa yang berlaku. Ada juga yang tetap beri sokongan dan kata-kata semangat. Saya rasa sangat terharu dan berterima kasih. Walaupun begitu, apabila kita ni jenis yang sudah bermasalah, tanggapan orang mestilah ada bermacam-macam. Cuma mujurlah saya jenis yang tak ambil kisah. Asalkan kita melayan orang dengan baik, inshaaAllah mereka juga akan melayan kita dengan baik.

Dugaan 
Selesai Semester 3, seterusnya masuk pula Semester 4. Proses pengajian untuk menjadi seorang PPP ni adalah 3 semester belajar dan 3 semester lagi praktikal. Jadi Sem 4 hingga Sem 6 tu adalah semester untuk praktikal. Kami akan ditempatkan di pelbagai tempat dan bahagian mengikut semester tersebut seperti hospital besar, hospital daerah dan klinik. Dugaan yang diterima semasa praktikal ni pula saya telah kehilangan sebuah handphone dan juga laptop. Masa tu saya praktikal Sem 5 di Pejabat Kesihatan Jitra dan duduk di asrama di situ. Sampai sekarang tak tahu siapa yang mengambilnya. Pasal handphone tu saya tidak kisah sangat tapi saya risaukan tentang kajian yang dilakukan dan semua fail-fail yang disimpan ada di dalam laptop tu. Terpaksalah saya buat semula tugasan yang diberi oleh pensyarah. Makin risau jika tak dapat siapkan nanti kena ulang sem lagi. Takkanlah nak ulang lagi, sampai bila tak habis belajar. Itulah yang menjadi mimpi ngeri buat saya. Saya sangat-sangat sedih dan kecewa. Namun tetap gigih buat semula tugasan tersebut. Masa tu saya hanya fikir Tuhan takkan berikan kita ujian yang kita tak boleh hadapi. Jadi, saya tetap kuatkan semangat dan alhamdulillah saya berjaya juga siapkannya.

Pengalaman Menjadi Pesakit
Setelah habis Sem 6 pada akhir tahun 2013, pengajian saya diakhiri dengan Program Transformasi Minda. Saya bersyukur dapat juga tamatkan pengajian dengan jayanya. Alhamdulillah akhirnya nanti saya akan bergelar seorang PPP. Surat tawaran kerja saya terima pada bulan Mac 2014. Sempatlah juga goyang kaki dan menganggur di rumah. Saya dikehendaki melaporkan diri di Hospital Klang pada 24 Mac 2014. Nak dijadikan cerita sebelum lapor diri tu, saya telah mengalami keracunan makanan. Malam sebelum kejadian, saya telah termakan laksa yang dibeli oleh ayah saya di gerai tepi jalan. Tak sangkan pula pagi esok tu saya terus mengalami cirit-birit yang sangat teruk. Lebih 10 kali saya terpaksa ulang alik ke tandas. Sungguh seksa rasanya. Hari tu jugalah ibubapa saya bawa saya ke Hospital Besar Kota Bharu. Setelah sampai di sana saya dimasukkan ke Zon Merah disebabkan tekanan darah yang amat rendah. Selepas itu, saya dimasukkan ke High Defiency Ward (HDW). Di situ pula, saya boleh rasakan bagaimana dimasukkan long line, CBD untuk keluarkan urin dan macam-macam rawatan lagi yang pesakit biasa di wad akan terima. Saya boleh faham rasanya menjadi seorang pesakit. Mungkin sebab itu juga, saya mudah untuk fahamkan pesakit jika ingin lakukan sesuatu prosedur. Dahsyat sungguh, nak jadi PPP pun kena dimasukkan wad juga dahulu. Saya terpaksa lapor diri di hospital lewat 4 hari dari tarikh yang diberikan (gambar ni adalah semasa saya melapor diri dahulu).


Mula Bekerja
Gaji yang pertama saya dapat dulu, saya belikan sebuah peti sejuk dua pintu kepada ibubapa saya. Sebab bila tanya nak apa, ibu saya mahukan peti sejuk. Ok juga lah peti sejuk, kerana di rumah kami masa tu guna yang jenama National lagi. Kini telah masuk tahun ke-3 saya bertugas sebagai PPP di jabatan kecemasan. Dalam 3 tahun ini juga bermacam-macam ragam pesakit dan waris pesakit yang saya telah temui. Kadang-kadang ada terfikir juga macam mana lah senior-senior PPP yang lain boleh bertahan kerja bertahun-tahun sebagai PPP kerana kita yang baru kerja setahun jagung ni pun dah rasa tak tahan. Tapi mungkin faktor tempat dan populasi penduduk di sesuatu kawasan yang menyebabkan kesesakan sesebuah jabatan kecemasan itu. Jadi, jika diikutkan kerja sebagai PPP ni persekitarannya amatlah negatif kerana kami sentiasa dikelilingi oleh orang sakit. Ya lah, orang sakit mana lah ada muka nak senyum kan. Semuanya datang dengan raut wajah yang menahan sakit ditambah pula dengan warisnya yang menekan kami, sentiasa nak cepat dan suruh didahulukan. Tapi dengan gunakan pendekatan yang betul, semua ini dapat kami hadapi dengan baik.

Perjalanan yang Mencabar
Begitulah susahnya perjalanan saya untuk bergelar seorang PPP. Bermacam-macam dugaan dan cabaran yang saya hadapi. Dan tidak mudah rupanya untuk saya sampai pada tahap sekarang. Yang lepas biarlah berlalu begitu sahaja. Jadi, nasihat saya di sini, jika anda berminat untuk jadi seorang PPP, sediakanlah diri anda dengan kekuatan mental dan emosi. Ini kerana tak semua orang boleh menahan sabar dan tangani semua masalah dengan baik. Senyumlah sentiasa dan berikan pendidikan kesihatan yang baik kepada semua pesakit. Kadang-kadang mereka ni sebenarnya nakkan perhatian dari kita dan nak kita pedulikan mereka. Berilah penerangan dan penjelasan yang tepat agar pesakit dan waris dapat memahami perjalanan sesuatu prosedur. Sentiasalah berfikir positif dan buat yang terbaik. InshaaAllah jika kita ikhlas, kerjaya ini sebenarnya adalah suatu ibadah di mana kita akan mendapat ganjarannya kelak. Walaupun akhir-akhir ini persepsi masyarakat terhadap pekerja kesihatan adalah tidak baik terutamanya di media sosial, namun tak perlulah kita cepat melatah. Apa-apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Cuma kitalah yang harus pandai untuk menguruskannya. Saya sentiasa berpegang pada kata-kata seorang ustaz yang sehingga kini saya masih ingat. Jika gaji kita hanyalah RM 2000 tapi kita buat kerja seperti untuk dapat RM 5000, inshaaAllah Tuhan akan berikan kesenangan yang lebih pada kita. Jika bukan melalui rezeki duit, mungkin dari segi anak yang soleh, keluarga bahagia, masa yang berkualiti serta tak banyak masalah. Tapi jika kita bergaji RM 2000 tapi buat kerja macam dapat gaji RM500, kita juga akan dapat balasan setimpal mungkin dari segi masalah kesihatan, kebocoran wang dan bermacam-macam musibah lain. Jadi, pilihlah KERJAYA (kerja + minat + berjaya) dan bukannya KERJA (terpaksa + bosan + stres).


SELAMAT HARI PEMBANTU PERUBATAN :)

Entri ini ditulis oleh Jerry Zuhairi, seorang Former Medical Assistant at Kementerian Kesihatan Malaysia.

BBL ~ Selalu time study pergi online cc tuan tanah
o( ̄ρ ̄)o

Ai tak kan baca sorang je..kongsillah dengan kawan-kawan di....

You Might Also Like

9 Budak Suka Minum Bandung Laici

  1. hehe jenuh nak baca smpi habis..ekeke..tahniah dik..semoga keje dgn baik ye.. hospital klang tu mmg crowded so x mustahil mst awk tension kan kdg2 ekeke..

    ReplyDelete
  2. Sebelum lapor diri ada medical checkup kan..and isi bnyk borang??

    ReplyDelete
  3. Iyupp.. kne buat medical checkup dulu

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum. InshaAllah bulan Jan nanti saya akan jadi salah seorang pelatih PPP. Pengalaman hebat yang dikongsi dari blog ni sangat2 membantu :)

    ReplyDelete
  5. Hehe sama2.. semoga bermanfaat ��

    ReplyDelete
  6. Saya nak tanya, kalau saya pelajar bukan daripada jurusan Pembantu Perubatan,tapi subjek biologi tulen layak kah saya memohon? Sebab bila saya lihat qualification untuk memohon jawatan tersebut, akan ada satu requirement mengenai sijil pembantu perubatan. Boleh jelaskan serba sedikit kepada saya? Tq

    ReplyDelete
  7. JAWATAN KOSONG PARAMEDIK AMBULAN INSAF MALAYSIA DI KUALA LUMPUR. TERBUKA KEPADA MEREKA YANG BERMINAT SILA EMAILKAN RESUME ANDA TERUS KEPADA insaftechnicalrelief@gmail.com

    ReplyDelete