Heritage Walk Royal Klang Town Bersama KTMB Holiday & Tourism Selangor

11:56 AM

Hi guys! Tengah mood Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia time update entri ni. Sebut nama Klang mesti cakap dalam hati "bukan ada apa kat Klang tu". Well nampaknya korang silap habis. Even BBL sendiri hampir setiap minggu ulang alik ke Klang tak perasan ada hidden history gems kat Bandar Diraja ni. 


KTM komuter selain jadi pengangkutan awam turut menyediakan pakej pelancongan melalui KTM Holiday. Boleh la travel ke tempat menarik dalam negara dengan komuter/ETS. Sebagai contoh pergi Padang Besar berjemaah naik ETS. Ni pun BBL baru je merasai pengalaman Heritage Walk ke Bandar DiRaja Klang menaiki KTM komuter dari Stesen KL Sentral ke Stesen Klang. Perjalanan ni mengambil masa 67 minit sahaja. Nampak macam lama tapi dek bersembang dan penerangan oleh wakil KTM Holiday rasa sekejap je dah sampai Klang.


Tahu tak Klang merupakan bandar yang tertua di Selangor, dengan bercirikan bangunan bersejarah dan struktur tradisional. Jejak Warisan Klang Bandar Diraja (Royal Klang Town Heritage Walk) ini akan membawa korang meneroka bangunan bersejarah dengan berjalan kaki di sekitar tempat menarik di seluruh bandar Klang. Boleh feeling tourist kejap. Tempoh hari BBL sempat melawat 11 kawasan tarikan pelancong. Apa tunggu lagi jom kita start berjalan..

1. Galeri DiRaja
Bangunan ini merupakan antara bangunan tertua di daerah Klang. Berciri 'neo classic' direka oleh A.B. Huback serta dibina tahun 1909. Tahun 2019 bakal menyambut ulangtahun ke 110 tahun. Pernah digunakan oleh Pejabat Daerah Klang sehingga bulan Januari 1973. Sewaktu perang dunia ke dua, pihak Jepun telah menjadikan bangunan ini sebagai markas tentera. Manakala pada tahun 1985, ia merupakan Ibu Pejabat Kontijen Polis Selangor sebelum dijadikan pejabat cawangan Majlis Perbandaran Klang. Setelah D.Y.M.M Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menaiki tahta pada tahun 2001, baginda telah memerintahkan agar Bangunan Sultan Suleiman sebagai lokasi Galeri Diraja yang baru. Hari ini ia muncul sebagai pusat pameran utama bagi Galeri Sultan Abdul Aziz.


Menempatkan banyak infomasi salah silah keturunan selain koleksi peribadi milik keluarga Diraja Selangor. Salah satunya replika mahkota, barangan milik sultan, hadiah pemberian sempena keputeraan baginda dan watikah pelantikan. Banyak lagi informasi menarik boleh dapat dari galeri dua tingkat ini. 

2. Bangunan Chartered Bank
Terletak di persimpangan Jalan Istana/Jalan Dato' Hamzah sebelah Galeri DiRaja. Bangunan putih berciri kolonial ini pernah menjadi Institusi Kewangan yang pertama wujud di Klang. Kini bangunan ini dimiliki oleh Chennai Silk iaitu gedung menjual tekstil dan kain sutera India. Walaupun telah renovate beberapa kali oleh pemilik, rekabentuk dan struktur asal 'neo classic' masih dikekalkan hingga hari ini. 

Mesin tenunan sari tradisional

Kalu anda nak cari sari atau pakaian untuk acara bertema bolloywood/india ini tempat sesuai kerana banyak pilihan warna, corak dan staff kat sini akan tolong macthing warna sesuai dengan warna kulit. 


3. Kelab DiRaja Klang
Dipercayai telah diasaskan tahun 1901. Terletak di Jalan Istana berhampiran Istana Shah Alam. Asalnya kelab ini ditubuhkan bertujuan untuk aktiviti sosial dan rekeasi ahli kelab especially  keturunan Eropah dan British. Pada zaman pendudukan Jepun (1942-1945) kelab ini menjadi mes rekeasi untuk pegawai tentera Jepun. Kekalahan Jepun sekitar tahun 194 membolehkan kelab ini menjadi pusat kelab rekeasi para pegawai berbangsa Eropah.

suasana asal kelab rekeasi ini semasa awal tahun 1900an


Rekaan dalaman kelab berunsur kapal dagang menjadi daya tarikan terutama bahan material banyak diambil dari kapal seperti kompas klasik, pengemudi kapal, lampu keselamatan kapal serta tingkap kaca sisi kapal. 


4. Istana Alam Shah
Menjadi ikon penting bagi Bandar Diraja Klang. Ini istana rasmi bagi adat istiadat kesultanan serta penganugerahan bintang dan darjah kebesaran negeri. Tersergam indah di atas bukit melambangkan kedaulatan Kesultanan Negeri Selangor. Telah dibina pada tahun 1905 oleh Sultan Alauddin Sulaiman Shah iaitu Sultan Selangor ke-5.


5. Gereja Our Lady of Lourdes Klang
Seterusnya kami menuju ke gereja ini yang antara bangunan tertua di Klang dan telah dibina lebih kurang 80 tahun lalu. Rekabentuk bangunan ini berciri senibina 'Gothic' sangat unik dan cat putih menaikan keindahannya.


6. Sekolah Convent Klang
Sekolah ini hanya bersebelahan dengan Gereja Our Lady of Lourdes. Ditubuhkan tahun 1924 dan cuma 19 orang pelajar sahaja yang belajar kat sekolah ni. Bangunan utama sekolah ini dibina sekitar tahun 1926 hingga 1928 kemudian dirasmikan oleh Sir William Peel pada tahun 1928. Hari ini sekolah ini masih mengekalkan rekabentuk asal bangunan walaupaun terdapat bangunan tambahan yang dibina.


7. Jalan Tengku Kelana
Famous sebagai 'Little India' kerana menjadi kawasan membeli belah popular masyarkat India. Kebanyakan peniaga sepanjang jalan ini terdiri dari kaum India yang menjual barang keperluan harian seperti sari, tekstil, barangan logam, barang kemas India dan lain-lain. Malah barang yang diimport terus dari India pun ada dijual. Kemeriah Jalan Tengku Kelana memang terasa menjelang perayaan Deepavali tika masyarakat India berpusu-pusu datang ke sini sambil menikmati persembahan hiburan oleh artis jemputan yang di pentas terbuka. Meriah habis.


8. Masjid India
Bangunan asal Masjid India telah dibina tahun 1910 untuk aktiviti keagaaman dan kemasyarakatan oleh India-Muslim yang tinggal di Klang. Lokasinya hujung Jalan Tengku Kelana memang mudah kelihatan dari jauh. Sebenarnya bangunan asal masjid telah dirobohkan dan diganti dengan binaan masjid yang baru.


9. Muzium Balai Bomba Klang
Dibina tahun 1890an dan mempunyai rekabentuk berciri gaya zaman 'victoria' masih dikekalkan hingga hari ini. Beroperasi sebagai balai bomba awam serta mempunyai muzium mempamerkan koleksi barangan menyelamat sejak era 90an hingga hari ini seperti pili bomba, siren bomba dan beberapa dokumen. 

isi peti besi ini masih menjadi misteri kerana kunci asalnya telah hilang 

10. Gedung Raja Abdullah
Gedung Raja Abdullah adalah antara bangunan tertua di Negeri Selangor  yang dibina oleh Raja Abdullah Bin Raja Jaafar pada tahun 1857. Sejarah pembinaan bermula tahun 1853 apabila beliau dilantik sebagai "Orang Kaya Klang" oleh Sultan Muhammad dengan kuasa mencari biji timah kat Sungai Klang sehingga Kuala Lumpur. Gedung Raja Abdullah telah dijadikan tempat penyimpanan biji timah dan kediaman beliau hingga tahun 1867 apabila terpaksa melarikan diri ke Melaka kerana tercetusnya Perang Klang.


Pada tahun 1874 bangunan ini diambil alih oleh kerajaan Negeri Selangor dari Raja Abdullah untuk dijadikan sebagai Pejabat Kerajaan dan pernah digunakan sebagai tempat mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor yang pertama pada tahun 1880. Selepas itu bangunan ini terbiar kosong sehingga tahun 1984 apabila Badan Warisan Malaysia dengan persetujuan kerajaan negeri telah membaik pulih bangunan ini untuk dijadikan sebagai muzium mini yang mempamerkan sejarah Klang dari zaman purba hingga awal kurun ini. 

11. Stesen Keretapi Klang
Bangunan Stesen Keretapi Klang terletak di Jalan Stesen dan dibina tahun 1890. Pernah dijadikan pusat penghantaran biji timah di Sungai Klang dan aktiviti perdagangan antara Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang serta dibina untuk mengantikan Stesen Bukit Kuda. 


Hari ini ia masih beroperasi sebagai stesen komuter KTM menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Kuala Lumpur serta jajaran Tanjung Malim dan Batu Caves. 

Tak cukup dengan lokasi bersejarah, Klang juga ada makanan tradisional yang menjadi kebangaan penduduk setempatan yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya. 

Nasi Ambeng

 bahulu kemboja - dibuat dari telur masin & air sahaja

wadai kepeng

Pakej Royal Klang Town Heritage Walk ni sebenarnya PERCUMA sahaja. Tak perlu bayar apa-apa pun dan seorang tour guide akan menemani korang sepanjang siri jelajah ini. Boleh datang ke Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dan register di kaunter untuk heritage tour. Hanya available setiap hari Sabtu dan Ahad bermula jam 8.30 pagi. Apa tunggu lagi, weekend ni jom datang ke bandar Klang. 

You Might Also Like

1 Budak Suka Minum Bandung Laici

  1. nampak macam menarik walaupun kat klang je. Tak payah keluar dari kl la macam ni, naik ktm terus pergi klang dah boleh explore tempat bersejarah macam oversea. Nice sharing

    ReplyDelete